Saturday, 5 May 2012

Makna Cinta


Makna CINTA
Bagi saya cinta mempunyai maksudnya yang sendiri. Ungkapan cinta ialah ungkapan luahan rasa hati yang tertinggi. Cinta melambangkan perasaan yang mendalam.
Saya percaya cinta ini ialah satu perasaan yang mendalam yang hadir di dalam diri seseorang secara semulajadi. Cinta tidak mungkin hadir secara paksaan atau boleh dijual beli. Untuk diri saya, cinta saya adalah kepada Allah, Rasul, Nabi dan juga kepada keluarga. Inilah cinta tertinggi saya.
Cinta sering kali membutakan kita jika kita tidak memahami maksudnya yang sebenar. Cinta yang buta boleh membuat kita tersimpang dari matlamat yang sebenar. Cinta yang tidak dihargai akan diakhiri dengan penyesalan. Cinta yang suci membawa kebahagiaan. Cinta yang murni membawa kemulian.
Kesimpulannya cinta ini sebenarnya indah jika kita memahaminya. Cinta tidak akan pudar dan cinta akan sentiasa mekar.

Cinta Tidak Akan Datang,
Jika Tidak Dicari.
Cinta Juga Tidak Akan Dapat,
Jika Tidak Diberi.


Kerjaya Pilihan Saya


Kerjaya Pilihan Saya
Setiap individu mempunyai cita-cita atau impian masing-masing. Setiap individu mengimpikan segala impian mereka tercapai. Saya juga mempunyai impian. Pelbagai impian yang telah saya sematkan di dalam lubuk hati saya ini dan antaranya ialah impian dalam aspek kerjaya saya.
Kerjaya pilihan saya ialah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Walaupun kini saya mengambil ijazah di dalam Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, namun matlamat sebenar saya adalah untuk menjadi usahawan seperti ibu saya. Walaupun kerjaya pilihan saya ini dilihat agak bertentangan dengan jurusan yang saya ikuti, namun ini bukan alasannya saya tidak boleh menjadi seorang usahawan. Bagi saya, pelajaran adalah untuk ilmu dan bukannya untuk kerjaya. Tidak semestinya kita mesti memilih kerjaya yang berkaitan dengan ijazah yang kita miliki.
Saya memilih kerjaya sebagai usahawan kerana bagi saya kerjaya ini memberikan kebebasan kepada saya. Ini bermaksud saya boleh mengendalikan sesuatu mengikut acuan saya sendiri. Saya juga memilih kerjaya ini kerana bagi saya kerjaya ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada saya jika saya berjaya menguruskan perniagaan saya dengan baik. Namun matlamat utama saya untuk menceburi bidang keusahawanan ini bukanlah semata-mata untuk wang ringgit sahaja tetapi untuk kepuasan diri saya sendiri.
Saya menjadikan ibu saya sebagai idola dan guru kepada saya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Segala tunjuk-ajar dan nasihat beliau telah menjadi pendorong kepada saya untuk merealalisasikan impian saya.
Kesimpulannya saya memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan saya. Saya berharap saya akan lebih kuat dan berani untuk menempuh segala dugaan dan cabaran yang mendatang, Insyaallah.
Join M.L.M pun OK jugakkan....... J







MAKNA PERSAHABATAN


MAKNA PERSAHABATAN
Persahabatan bagi saya merupakan satu ikatan yang berbanding dengan ungkapan kawan. Persahabatan sering dikaitkan dengan kawan. Tetapi bagi saya erti persahabatan dan kawan adalah dua maksud yang berbeza
Kawan ialah satu ikatan yang tidak utuh dan kadang-kala ikatan itu mudah untuk terputus atau dilupakan. Pelbagai bentuk atau ciri yang ada pada ungkapan kawan ini. Bagi saya kawan ialah insan yang selalunya wujud semasa kita senang sahaja. Kawan mungkin akan pergi jika memerlukan bantuan atau sokongan. Kawan selalunya akan hadir semasa kita senang tetapi akan pergi jika kita dalam kesusahan. Kawan akan pergi jika dia mempunyai kawan yang lebih baik dan kawan juga akan pergi apabila hadirnya kekasih.
Persahabatan atau sahabat bagi saya merupakan satu ikatan yang utuh dan berpanjangan. Sahabat akan sentiasa bersama kita semasa susah atau senang. Sahabat sentiasa mencari ruang untuk bersama kita. Sahabat sentiasa bersedia untuk kita. Sahabat sentiasa menyenangkan kita. Sahabat menangis kita. Sahabat sentiasa ingat pada kita. Ikatan persahabatan akan menjadi semakin kuat hari demi hari. Sahabat tidak akan lupa kepada kita. Bagi saya ikatan persahabatan merupakan satu ikatan yang suci di mana ikatan boleh membuat kita menjadi lebih baik dan lebih lengkap.
Dilemanya di sini kita sukar mencari seorang sahabat tetapi kita mungkin boleh mendapat seribu kawan, tetapi nilai seribu kawan ini tidak boleh dibandingkan dengan seorang sahabat.
Kesimpulannya erti persahabatan ini adalah sangat luas jika ingin dihuraikan dengan kata-kata. Persahabatan merupakan puncak ikatan antara insan yang sangat sukar untuk dikecapi. Jika kita ditemukan dengan seorang sahabat, jagalah persahabatan itu dengan sebaik mungkin.
MASIH MENCARI SEORANG SAHABAT...............
  


Tuesday, 1 May 2012

Politik Nasional Semasa

Politik Nasional Semasa : Perhimpunan BERSIH 3.0

Perhimpunan BERSIH 3.0 telah berlangsung pada 28 April 2012. Di sini saya melihat bahawa rakyat Malaysia kini sudah berani untuk menzahirkan tuntutan mereka terutamanya rakyat yang menyokong pembangkang. Perhimpunan ini telah berlangsung di Kuala Lumpur dan motif utama mereka adalah ingin membuat beberapa tuntutan daripada pihak kerajaan.
Di sini saya tidak berminat untuk membincangkan tentang apakah tuntutan yang telah dilakukan oleh mereka, tetapi saya lebih berminat untuk membicarakan tentang cara pihak-pihak yang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 ini.
Perhimpunan ini pada mulanya dirancang akan berjalan dengan amannya, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perhimpunan ini bertukar dari tenang hingga menjadi agresif. Para peserta yang menyertai perhimpunan ini mula menjadi tidak terkawal dan akhirnya berlakulah pelbagai perkara yang tidak molek.
Saya begitu kesal kerana pihak yang bertanggungjawab mengadakan perhimpunan ini dilihat gagal mengawal para pesertanya hingga menjadi ganas dan liar. Perhimpunan yang diwar-warkan sebelum akan berjalan dengan “AMAN” bertukar menjadi “GANAS”. Apa yang saya kesali para peserta telah melanggar “JANJI” mereka dengan bertindak di luar batasan. Banyak kerosakan telah dilakukan seperti harta awam dirosakkan dan sebagainya. Penjawat awam juga telah dicederakan dan ada juga perusuh yang bagi saya tidak berakhlak mencemuh anggota polis yang bertugas dengan panggilan “ANJING”.
Sedarkah kita “ANJING” yang dicemuh itulah yang menjaga ketenteraman kita bersama. Jika mereka tiada, apa yang akan terjadi terutamanya semasa perhimpunan BERSIH 3.0 ini.
Saya berpendapat pihak pembangkang begitu bijak memainkan isu-isu panas sehingga berjaya memperalatkan rakyat untuk berjuang untuk mereka.Saya melihat fenomena politi di negara kita kini menjadi lebih agresif dan tidak sihat. Pemain-pemain politik di negara kita sanggup menggunakan pelbagai cara untuk mengecapi impian dan tujuan mereka. Mereka mula bertindak seperti “Matlamat Menghalalkan Cara”. Pelbagai cara telah dilakukan untuk mencapai tujuan mereka.
Kemodenan arus politik yang berlaku telah memberi tekanan kepada semua pihak terutamanya pihak kerajaan.
Saya di sini bukan untuk menyebelahi pihak kerajaan ataupun pembangkang, tetapi saya terasa terpanggil untuk menyuarakan kesedihan saya melihat perkara-perkara ini berlaku.

                                         Berdebar Menanti PRU Yang Akan Tiba...........
   






Saturday, 10 March 2012

Gelagat Manusia Di Sekeliling Saya

Malam ini bersamaan dengan hari Sabtu (10/3/2012) saya bersama rakan saya bersiar-siar di expo yang berlangsung di kawasan berdekatan dengan Varsity Mall UUM. Sedang mata saya ligat memerhatikan gelagat pengunjung expo ini, tiba-tiba pandangan saya terhenti apabila saya terlihat sepasang kekasih.
Wah, sungguh ligat pasangan itu. Berpelukan sesama mereka di tempat awam. Saya tersenyum sendiri melihat gelagat mereka itu. Tidak saya sangka dapat melihat “tayangan percuma” di expo ini. Melalui pemerhatian saya, mereka mungkin pelajar UUM ini sendiri. Bagi saya yang berdarah muda ini mungkin tiada masalah, tetapi apa pula pandangan orang lain terutamanya pelawat dari luar. Mungkinkah meraka akan berkata : “America” sungguh pelajar UUM .
Lama saya perhatikan mereka tanpa mereka peduli atau sedari. Pasangan ini seperti tidak merasa bersalah di atas perlakuan mereka. Mereka seperti di dalam dunia mereka sendiri. Sungguh bahagia mereka berdua.
Aduh, nakal sungguh mata saya ini. Selepas lama memerhatikan mereka, akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan saya ke ‘Laman Budaya” untuk menonton Pertandingan Nyanyian Bintang Utara.
Pasangan itu saya tinggalkan kerana pertandingan nyanyian itu lebih menarik perhatian saya.
Kesimpulannya, bagi saya bermacam-macam manusia bermacam-macam jugalah kerenah mereka. Yang baik dijadikan tauladan, yang jahat dijadikan sempadan..

Sekian...Esok Pergi Expo Lagi Jalan-Jalan...JOM
  

Saturday, 25 February 2012

Makna Universiti Dalam Kehidupan Saya

Bagi saya, universiti ini ialah satu gedung ilmu untuk dari saya. Tempat ini telah mengajarkan ilmu-ilmu yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Semasa zaman persekolahan, saya tidak pernah terfikir yang saya akan sampai ke tahap ini. Tetapi selepas saya diterima untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang "Pengurusan Hal Elwah Antarabangsa", hidup saya seakan-akan telah berputar 360 darjah. Kehidupan saya menjadi lebih warna-warni dan mencabar. Saya menjadi lebih yakin untuk memajukan lagi diri saya dengan peluang yang diberikan oleh Universiti Utara Malaysia.
Di sini, saya belajar bermacam-macam ilmu yang tidak pernah saya ketahui. Saya belajar tentang politik, ekonomi dan sosial. Semua ini adalah baru dalam hidup saya. Fikiran saya yang sebelum ini hanya di dalam ruang lingkup yang kecil sahaja tetapi kini berubah, saya menjadi lebih kristis dan terbuka.
Selain itu, universiti ini telah mengajar saya erti berdikari. Sebelum ini, saya hanya berharap kepada keluarga sahaja untuk melakukan pelbagai perkara. Namun setelah saya di sini, saya terpaksa melakukan semua perkara itu sendiri. Saya terpaksa belajar menggosok dan membasuh pakaian saya sendiri, mengemas bilik dan lain-lain lagi. Bagi saya semua ini adalah perkara baru yang saya belajar kerana sebelum ini saya tidak pernah melakukan semua kerja-kerja ini.
Masa berlalu begitu pantas, kini saya sudah berada di tahun tiga dan juga tahun terakhir saya di sini. Memori yang terpahat dalam fikiran saya akan saya simpan sampai bila-bila. Segala pahit manis di sini menjadi kenangan dalam diri saya.
Kesimpulannya selain daripada pelbagai ilmu yang telah saya dapat daripada universiti ini, saya juga telah mendapat ilmu berdikari yang saya tidak pernah pelajari sebelum ini. Universiti ini telah mematangkan saya dan menjadikan saya lelaki yang lebih matang dari sebelum ini.

Terima kasih universitiku.......