Tuesday, 1 May 2012

Politik Nasional Semasa

Politik Nasional Semasa : Perhimpunan BERSIH 3.0

Perhimpunan BERSIH 3.0 telah berlangsung pada 28 April 2012. Di sini saya melihat bahawa rakyat Malaysia kini sudah berani untuk menzahirkan tuntutan mereka terutamanya rakyat yang menyokong pembangkang. Perhimpunan ini telah berlangsung di Kuala Lumpur dan motif utama mereka adalah ingin membuat beberapa tuntutan daripada pihak kerajaan.
Di sini saya tidak berminat untuk membincangkan tentang apakah tuntutan yang telah dilakukan oleh mereka, tetapi saya lebih berminat untuk membicarakan tentang cara pihak-pihak yang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 ini.
Perhimpunan ini pada mulanya dirancang akan berjalan dengan amannya, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perhimpunan ini bertukar dari tenang hingga menjadi agresif. Para peserta yang menyertai perhimpunan ini mula menjadi tidak terkawal dan akhirnya berlakulah pelbagai perkara yang tidak molek.
Saya begitu kesal kerana pihak yang bertanggungjawab mengadakan perhimpunan ini dilihat gagal mengawal para pesertanya hingga menjadi ganas dan liar. Perhimpunan yang diwar-warkan sebelum akan berjalan dengan “AMAN” bertukar menjadi “GANAS”. Apa yang saya kesali para peserta telah melanggar “JANJI” mereka dengan bertindak di luar batasan. Banyak kerosakan telah dilakukan seperti harta awam dirosakkan dan sebagainya. Penjawat awam juga telah dicederakan dan ada juga perusuh yang bagi saya tidak berakhlak mencemuh anggota polis yang bertugas dengan panggilan “ANJING”.
Sedarkah kita “ANJING” yang dicemuh itulah yang menjaga ketenteraman kita bersama. Jika mereka tiada, apa yang akan terjadi terutamanya semasa perhimpunan BERSIH 3.0 ini.
Saya berpendapat pihak pembangkang begitu bijak memainkan isu-isu panas sehingga berjaya memperalatkan rakyat untuk berjuang untuk mereka.Saya melihat fenomena politi di negara kita kini menjadi lebih agresif dan tidak sihat. Pemain-pemain politik di negara kita sanggup menggunakan pelbagai cara untuk mengecapi impian dan tujuan mereka. Mereka mula bertindak seperti “Matlamat Menghalalkan Cara”. Pelbagai cara telah dilakukan untuk mencapai tujuan mereka.
Kemodenan arus politik yang berlaku telah memberi tekanan kepada semua pihak terutamanya pihak kerajaan.
Saya di sini bukan untuk menyebelahi pihak kerajaan ataupun pembangkang, tetapi saya terasa terpanggil untuk menyuarakan kesedihan saya melihat perkara-perkara ini berlaku.

                                         Berdebar Menanti PRU Yang Akan Tiba...........
   






No comments:

Post a Comment