Saturday, 5 May 2012

Makna Cinta


Makna CINTA
Bagi saya cinta mempunyai maksudnya yang sendiri. Ungkapan cinta ialah ungkapan luahan rasa hati yang tertinggi. Cinta melambangkan perasaan yang mendalam.
Saya percaya cinta ini ialah satu perasaan yang mendalam yang hadir di dalam diri seseorang secara semulajadi. Cinta tidak mungkin hadir secara paksaan atau boleh dijual beli. Untuk diri saya, cinta saya adalah kepada Allah, Rasul, Nabi dan juga kepada keluarga. Inilah cinta tertinggi saya.
Cinta sering kali membutakan kita jika kita tidak memahami maksudnya yang sebenar. Cinta yang buta boleh membuat kita tersimpang dari matlamat yang sebenar. Cinta yang tidak dihargai akan diakhiri dengan penyesalan. Cinta yang suci membawa kebahagiaan. Cinta yang murni membawa kemulian.
Kesimpulannya cinta ini sebenarnya indah jika kita memahaminya. Cinta tidak akan pudar dan cinta akan sentiasa mekar.

Cinta Tidak Akan Datang,
Jika Tidak Dicari.
Cinta Juga Tidak Akan Dapat,
Jika Tidak Diberi.


Kerjaya Pilihan Saya


Kerjaya Pilihan Saya
Setiap individu mempunyai cita-cita atau impian masing-masing. Setiap individu mengimpikan segala impian mereka tercapai. Saya juga mempunyai impian. Pelbagai impian yang telah saya sematkan di dalam lubuk hati saya ini dan antaranya ialah impian dalam aspek kerjaya saya.
Kerjaya pilihan saya ialah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Walaupun kini saya mengambil ijazah di dalam Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, namun matlamat sebenar saya adalah untuk menjadi usahawan seperti ibu saya. Walaupun kerjaya pilihan saya ini dilihat agak bertentangan dengan jurusan yang saya ikuti, namun ini bukan alasannya saya tidak boleh menjadi seorang usahawan. Bagi saya, pelajaran adalah untuk ilmu dan bukannya untuk kerjaya. Tidak semestinya kita mesti memilih kerjaya yang berkaitan dengan ijazah yang kita miliki.
Saya memilih kerjaya sebagai usahawan kerana bagi saya kerjaya ini memberikan kebebasan kepada saya. Ini bermaksud saya boleh mengendalikan sesuatu mengikut acuan saya sendiri. Saya juga memilih kerjaya ini kerana bagi saya kerjaya ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada saya jika saya berjaya menguruskan perniagaan saya dengan baik. Namun matlamat utama saya untuk menceburi bidang keusahawanan ini bukanlah semata-mata untuk wang ringgit sahaja tetapi untuk kepuasan diri saya sendiri.
Saya menjadikan ibu saya sebagai idola dan guru kepada saya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Segala tunjuk-ajar dan nasihat beliau telah menjadi pendorong kepada saya untuk merealalisasikan impian saya.
Kesimpulannya saya memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan saya. Saya berharap saya akan lebih kuat dan berani untuk menempuh segala dugaan dan cabaran yang mendatang, Insyaallah.
Join M.L.M pun OK jugakkan....... J







MAKNA PERSAHABATAN


MAKNA PERSAHABATAN
Persahabatan bagi saya merupakan satu ikatan yang berbanding dengan ungkapan kawan. Persahabatan sering dikaitkan dengan kawan. Tetapi bagi saya erti persahabatan dan kawan adalah dua maksud yang berbeza
Kawan ialah satu ikatan yang tidak utuh dan kadang-kala ikatan itu mudah untuk terputus atau dilupakan. Pelbagai bentuk atau ciri yang ada pada ungkapan kawan ini. Bagi saya kawan ialah insan yang selalunya wujud semasa kita senang sahaja. Kawan mungkin akan pergi jika memerlukan bantuan atau sokongan. Kawan selalunya akan hadir semasa kita senang tetapi akan pergi jika kita dalam kesusahan. Kawan akan pergi jika dia mempunyai kawan yang lebih baik dan kawan juga akan pergi apabila hadirnya kekasih.
Persahabatan atau sahabat bagi saya merupakan satu ikatan yang utuh dan berpanjangan. Sahabat akan sentiasa bersama kita semasa susah atau senang. Sahabat sentiasa mencari ruang untuk bersama kita. Sahabat sentiasa bersedia untuk kita. Sahabat sentiasa menyenangkan kita. Sahabat menangis kita. Sahabat sentiasa ingat pada kita. Ikatan persahabatan akan menjadi semakin kuat hari demi hari. Sahabat tidak akan lupa kepada kita. Bagi saya ikatan persahabatan merupakan satu ikatan yang suci di mana ikatan boleh membuat kita menjadi lebih baik dan lebih lengkap.
Dilemanya di sini kita sukar mencari seorang sahabat tetapi kita mungkin boleh mendapat seribu kawan, tetapi nilai seribu kawan ini tidak boleh dibandingkan dengan seorang sahabat.
Kesimpulannya erti persahabatan ini adalah sangat luas jika ingin dihuraikan dengan kata-kata. Persahabatan merupakan puncak ikatan antara insan yang sangat sukar untuk dikecapi. Jika kita ditemukan dengan seorang sahabat, jagalah persahabatan itu dengan sebaik mungkin.
MASIH MENCARI SEORANG SAHABAT...............
  


Tuesday, 1 May 2012

Politik Nasional Semasa

Politik Nasional Semasa : Perhimpunan BERSIH 3.0

Perhimpunan BERSIH 3.0 telah berlangsung pada 28 April 2012. Di sini saya melihat bahawa rakyat Malaysia kini sudah berani untuk menzahirkan tuntutan mereka terutamanya rakyat yang menyokong pembangkang. Perhimpunan ini telah berlangsung di Kuala Lumpur dan motif utama mereka adalah ingin membuat beberapa tuntutan daripada pihak kerajaan.
Di sini saya tidak berminat untuk membincangkan tentang apakah tuntutan yang telah dilakukan oleh mereka, tetapi saya lebih berminat untuk membicarakan tentang cara pihak-pihak yang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 ini.
Perhimpunan ini pada mulanya dirancang akan berjalan dengan amannya, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perhimpunan ini bertukar dari tenang hingga menjadi agresif. Para peserta yang menyertai perhimpunan ini mula menjadi tidak terkawal dan akhirnya berlakulah pelbagai perkara yang tidak molek.
Saya begitu kesal kerana pihak yang bertanggungjawab mengadakan perhimpunan ini dilihat gagal mengawal para pesertanya hingga menjadi ganas dan liar. Perhimpunan yang diwar-warkan sebelum akan berjalan dengan “AMAN” bertukar menjadi “GANAS”. Apa yang saya kesali para peserta telah melanggar “JANJI” mereka dengan bertindak di luar batasan. Banyak kerosakan telah dilakukan seperti harta awam dirosakkan dan sebagainya. Penjawat awam juga telah dicederakan dan ada juga perusuh yang bagi saya tidak berakhlak mencemuh anggota polis yang bertugas dengan panggilan “ANJING”.
Sedarkah kita “ANJING” yang dicemuh itulah yang menjaga ketenteraman kita bersama. Jika mereka tiada, apa yang akan terjadi terutamanya semasa perhimpunan BERSIH 3.0 ini.
Saya berpendapat pihak pembangkang begitu bijak memainkan isu-isu panas sehingga berjaya memperalatkan rakyat untuk berjuang untuk mereka.Saya melihat fenomena politi di negara kita kini menjadi lebih agresif dan tidak sihat. Pemain-pemain politik di negara kita sanggup menggunakan pelbagai cara untuk mengecapi impian dan tujuan mereka. Mereka mula bertindak seperti “Matlamat Menghalalkan Cara”. Pelbagai cara telah dilakukan untuk mencapai tujuan mereka.
Kemodenan arus politik yang berlaku telah memberi tekanan kepada semua pihak terutamanya pihak kerajaan.
Saya di sini bukan untuk menyebelahi pihak kerajaan ataupun pembangkang, tetapi saya terasa terpanggil untuk menyuarakan kesedihan saya melihat perkara-perkara ini berlaku.

                                         Berdebar Menanti PRU Yang Akan Tiba...........